Jumaat, 21 Januari 2011

kertas renungan

SEKADAR RENUNGAN ( entah betul ntah tidak....walau apapun...dah lepas dah)

1.0 PENDAHULUAN

Kertas renungan ini adalah berdasarkan kepada penelitian dan pengamatan penulis terhadap filem Semerah Padi. Pengamatan penulis dalam kertas ini akan berkisar kepada pelbagai aspek dan nilai yang ditonjolkan di dalam filem tersebut merangkumi aspek nilai dan kemasyarakatan serta undang-undang dikaitkan dengan keadaan semasa.

2.0 ASPEK NILAI DAN KEMASYARAKATAN

Pelbagai aspek nilai positif kemasyarakatan telah ditonjolkan di dalam filem Semerah Padi antaranya adalah mengenai peranan ketua dan ahli masyarakat dalam membina masyarakat dan menjamin keutuhan dan perpaduan dalam masyarakat. Kehidupan bermasyarakat digambarkan sebagai sebuah badan yang mana seluruh organnya saling mempunyai tugas dan peranan masing-masing samada secara sendirian atau kolektif dalam membina dan menjaga keselamatan badan. Peranan yang dimainkan oleh setiap ahli masyarakat amat penting dalam penerusan semangat gotong royong, perpaduan dan sebagainya. Keutuhan sesebuah masyarakat juga hasil daripada ketaatan rakyat kepada tampuk pemerintahan. Aspek positif lain yang boleh diambil pengajaran ialah sikap mementingkan tugas dan tanggungjawab melebihi kepentingan peribadi.

3.0 ASPEK UNDANG-UNDANG

Aspek undang-undang adalah aspek utama yang dilihat ingin ditonjolkan dalam filem semerah padi. Ini menunjukkan bahawa antara hal atau perkara yang menjadi kayu ukur kepada pembinaan negara dan masyarakat ialah hukum hakam atau undang-undang yang tertegak di dalam sesebuah negara itu. Dalam mana-mana negara pun, soal undang-undang dan perlembagaan menjadi inti teras kepada pembinaan negara. Dimensi undang-undang dan perlembagaan boleh diumpamakan sebagai rukun utama kepada keutuhan sesebuah negara. Filem Semerah Padi telah menonjolkan bahawa kerukunan atau kedamaian sesebuah pemerintahan memerlukan undang-undang yang menjadi dasar pemerintahan. Undang-undang Islam mejadi asas pemerintahan Kampung Semerah Padi. Walaupun perlaksanaan undang-undang Islam yang ditonjolkan tidaklah menepati kehendak undang-undang Islam yang sebenarnya namun ia adalah permulaan yang baik buat santapan rohani masyarakat.

Tiga jenis kesalahan undang-undang yang ditonjolkan di dalam filem tersebut dan hukuman telah dilaksanakan kepada pesalahnya iaitu perbalahan atau pertikaian di antara dua ahli masyarakat, kesalahan berzina dan disusuli dengan pembunuhan dan pemberontakan. Hukuman terhadap ketiga-tiga kesalahan ini ditentukan oleh ketua masyarakat dan dihukum berdasarkan hukum Islam.

3.1 Konsep sebenar undang-undang Islam

Di dalam Islam terdapat tiga jenis jenayah dan hukumannya ialah hudud, qisas dan takzir. Hudud adalah kesalahan jenayah yang ditetapkan kadarnya oleh Hukum syarak, yang tidak ada minima dan maksimanya dan yang tidak boleh digugurkan sama sekali sama ada oleh individu atau pemerintah. Qisas juga ditetapkan kadarnya oleh Hukum Syarak tetapi boleh dimaafkan samada melalui bayaran diyat atau tanpa diyat sekalipun kes itu telah sampai ke mahkamah. Takzir pula adalah kesalahan jenayah yang tidak ditetapkan kadarnya oleh hukum syarak tetapi ditetapkan oleh kerajaan atau hakim mengikut budi bicaranya.

Di dalam pelaksanaan undang-undang Islam beberapa perkara yang perlu diberi perhatian ialah berkenaan siasatan, pendakwaan dan hukuman. Setiap perkara ini perlu diberi perhatian agar hukuman yang dilaksanakan adalah secara adil disamping memberi pengajaran kepada pelaku dan masyarakat.

3.2 Tatacara siasatan dan pembuktian

Konsep penyiasatan dalam Islam adalah sangat luas dan mencakupi pelbagai perkara samada urusan individu atau urusan berkumpulan. Tatacara penyiasatan akan bermula daripada maklumat awal yang dibuat oleh mana-mana orang (rujuk sekyen 54 Ordinan Tatacara Jenayah Syariah Sarawak 2001). Siasatan diperlukan bagi mengetahui kebenaran sesuatu maklumat yang diberikan sebagaimana firman Allah dalam Surah al Hujurat ayat 6 yang bermaksud:

wahai orang-orang yang beriman, jika seorang fasik datang menemui kamu membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya kerana dikhuatiri kamu mengenakan tindakan yang buruk terhadap sesuatu kaum dengan kejahilan dan menyebabkan kamu menyesal terhadap tindakan yang kamu lakukan."

Siasatan boleh dilakukan sebelum tangkapan atau selepas tangkapan dibuat dan ia perlulah merangkumi semua perkara termasuklah berkenaan dengan saksi samada bayyinah atau syahadah. Dalam keadaan seseorang itu ditangkap, ia berhak dan perlu dibenarkan berunding dengan peguam atau mengadakan jaminan bagi pelepasannya. Peruntukan Undang-undang Jenayah Syariah di Malaysia membezakan di antara kesalahan boleh tangkap dan kesalahan tidak boleh tangkap. Justeru tatacara penyiasatan bagi kedua-dua kesalahan ini juga berbeza.

3.3 Pembuktian dalam hukum Islam

Di dalam perbicaraan penuh Kesalahan Jenayah Syariah, kewajipan pendakwa ialah membuktikan bahawa tertuduh telah melakukan kesalahan seperti di dalam pertuduhan. Tertuduh juga dianggap tidak bersalah selagi ia tidak dibuktikan sebaliknya. Oleh itu tugas seorang Pendakwa Syarie adalah amat berat untuk membuktikan dan dapat menafikan kedudukan asal bahawa seseoarang itu tidak dianggap bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Sebagaimana dijelaskan sebelum ini terdapat tiga jenis hukuman di dalam kesalahan jenayah syariah iaitu hudud, qisas dan takzir. Pembuktian dalam kes Kesalahan Jenayah ini berbeza mengikut jenis kes. Hukuman hudud iaitu rejam dengan batu (bukan sula dengan lembing seperti di dalam filem Semerah Padi) dan juga sebatan umpamanya memerlukan pembuktian yang kukuh. Penzina yang dijumpai sudah berzina dan terkapar keletihan, tidak boleh dihukum had kerana saksi

tidak nampak mereka berzina. Begitu juga dengan kesalahan membunuh tanpa adanya saksi yang menyaksikan jenayah tersebut berlaku. Justeru bukti sahaja tidak mencukupi dalam hukuman hudud. Bukti mesti disertai dengan saksi. Justeru, kedudukan saksi amat penting. Walaupun perempuan itu terbukti sudah mengandung hasil persetubuhan haram, hukuman hudud masih tidak boleh dilakukan. Ini tidak bermakna wanita itu terlepas daripada hukuman. Wanita yang didapati berzina dan didapati bersalah dengan bukti-bukti yang mencukupi (tanpa saksi) mungkin perlu dihantar ke pusat perlindungan agar kebajikan diri dan anaknya terjaga.

Begitu juga berkenaan pembuktian berkaitan kesalahan yang lain yang telah menetapkan garis panduan dan bilangan saksi yang diperlukan bersesuaian dengan jenis kesalahan yang dilakukan. Dalam keadaan lain niat juga perlu dibuktikan samada wujudnya mensrea atau actusrea tertuduh dalam jenayah tersebut.

Pelaksanaan hukuman hudud bagi penzina yang muhsan di dalam filem tersebut bukanlah gambaran pelaksanaan hukuman hudud yang sebenar. Hukuman had bagi penzina muhsan yang sebenarnya ialah rejam sampai mati dan bukan sula sebagaimana dalam filem tersebut.

Dalilnya sebagaimana hadis rasulullah saw. Yang bermaksud:

Dari Abu Huraira ra ia berkata, ada seorang laki-laki menghadap Rasulullah SAW di masjid lalu menyeru. Ya Rasulullah sesungguhnya aku benar-benar telah berzina. Kemudian Rasulullah berpaling sehinggaa orang tersebut mengulangi Empat kali ia dipanggil oleh Rasulullah seraya berkata” apakah engkau menidap nyakit gila” ia menjawab tidak, nabi bertanya adakah engkau berzina muhsan? Ia menjawab betul.lalu nabi SAW menyuruh para sahabat “bawalah dia lalu rejamlah”. Ibnu Shihab nerkata ada seorang yang mendengar daripada Jabir Bin Abdullah memberitahu bahawa jabir berkata”aku termasuk salah seorang yang merejamnya iaitu kami rejam dimusalla. Tetapi tatkala batu-batu lemparan itu melukainya ia lari lalu kami tangkap dia di Harrah, kemudian kami rejam sampai mati.

Sahih al Bukhari

3.3 Cara pelaksanaan hukuman Islam

Hukuman rejam ataupun hukuman bagi pelbagai kesalahan Jenayah Syariah yang lain dilaksanakan di hadapan orang awam bagi memberi kesedaran dan pengajaran kepada masyarakat.

4.0 PENUTUP

Sebagai kesimpulannya, perbincangan di atas hanyalah sedikit sahaja perbincangan ringkas yang boleh dikupas apabila membicarakan berkenaan perlaksanaan undang-undang Islam berbanding perbincangan yang amat luas mengenai perkara ini dalam pelbagai isu dan aspek. Namun apa yang paling penting yang harus disebut di sini ialah hikmah hukuman dalam undang-undang Jenayah Islam sebenarnya adalah untuk mendatangkan kesedaran kepada masyarakat dan memberi pengajaran agar tidak melakukan kesalahan yang serupa.


SUMBER RUJUKAN

1. Al Quran al-Karim

2. As sunnah

3. Ordinan Tatacara Jenayah Syariah Sarawak 2001

Tiada ulasan:

Catat Ulasan